Donate (RM)
Kongsi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

NEW WAX: CLOCKWISE DAN GIZMO, KONFLIK, PERJALANAN DAN PEKERJA SEKS

Teks oleh: Zhafirin Zulkifli 
Foto oleh: Md. Fariq Khir

Malam itu Kota Damansara hujan lebat. Sesekali kilat menyambar. Hari ini hari isnin dan hari untuk saya bercuti. Seperti kebiasaannya, saya akan bersiar menggunakan MRT dan kadangkala menggunakan LRT. Dan usai saja menghabiskan waktu dengan bersiar, akan pulang semula ke bilik sewa dan mula menulis catatan hari isnin.

Adakah anda tahu bahawa di LRT lebih banyak drama berbanding di MRT? Tengahari tadi misalnya, di dalam LRT ada sedikit pertelingkahan antara seorang wanita Arab dan seorang lelaki berbangsa cina. Katakanlah usia wanita tersebut dalam lingkungan 40an dan si lelaki pula diusia awal 30an. Jarak antara saya dengan insiden tersebut lebih kurang lima meter. Saya tidak pasti penyebab pertelingkahan mereka. Kelihatan wanita Arab tersebut begitu marah dan sesekali menuding jari ke arah lelaki tersebut.

Dari jarak tersebut agak sukar untuk mendengar dengan jelas apatah lagi saya sedang memakai earphone.

Saya sedang mendengar lagu dari musisi bernama New Wax. New Wax adalah musisi berasal dari Kuala Lumpur yang sempat saya saksikan pertama kali di sebuah gig yang diadakan di Digital Art Gallery beberapa hari yang lalu. Hal yang dikagumi tentang muzik mereka adalah ambien dalam pembawaan muzik mereka. Penuh dengan bau Kuala Lumpur. Disebabkan lagu – lagu mereka, saya berada didalam isi perut LRT sekarang.

Saya membeli tiket gig tersebut tanpa mengambil tahu siapa dan apa (muzik) New Wax. Berikan saya kejutan. Kita semua tahu dunia seolah berada dipenghujung dengan virus sedang rancak menyerang kita semua, kematian terasa hanya sedekat satu meter. Dalam tempoh singkat kita disini, kita perlukan kejutan. Samada ia membahagiakan atau sebaliknya supaya kita boleh merasakan kematian kita tidak sia-sia dengan hanya sebuah kejutan.

Sebelum gig malam itu bermula, saya sememangnya mencuba untuk tidak menyapa mereka meskipun pemain dram, Rudi, duduk disebelah saya sementara Najib, pemain keyboard, mundar mandir dihadapan saya sambil memegang sebuah buku yang tak pasti tajuknya tetapi tertera nama seniman seni rupa, Redza Piyadasa. Ada apa dengan Redza Piyadasa, getus hati. Konseptual atau memberi klu bahawa muzik mereka ‘This is a statement about form’ atau This is not a work of art?’.
Persetankan itu.

Ditelinga saya sekarang sedang berkumandang lagu ‘Clockwise’, ada pertelingkahan diantara jarak lima meter, ada pasangan kekasih dihadapan saya sedang menguasai dunia mereka. Saya yakin dunia ini milik mereka berdua – sesekali si lelaki mengusap rambut teman wanitanya. Wanita itu melihat dalam – dalam mata teman lelakinya sebelum meletakkan kepala di bahu teman lelakinya itu. Di kepala mereka berdua, dikelilingi bunga-bunga cinta.


Tren kini berhenti di stesen Masjid Jamek. Pintu terbuka dan orang berduyun masuk dan keluar. Ada seorang gadis hampir saja terjatuh dek ditolak pengguna yang lain. Dia sempat melihat ke arah orang yang menolaknya sebelum duduk di hadapan, sebelah kanan saya. Tahukah anda, orang ramai yang menggunakan LRT berjalan lebih pantas berbanding orang ramai yang menggunakan MRT?

Di LRT juga orang didalamnya sering bercakap lebih nyaring dan kuat. Kita boleh mendengar dengan jelas cerita – cerita mereka. Seperti sekarang, saya sedang mendengar perbualan dua orang pelajar sekolah tentang teori konspirasi bangunan – bangunan yang ada di Kuala Lumpur. Salah seorang dari mereka tidak mempercayai hal tersebut. “Sekali lagi kau bagitahu teori merepek ni, jangan kawan dengan aku dah”. Saya hanya tergelak kecil disebalik pelitup muka. Saya sempat juga terdengar perbualan seorang wanita, berusia dalam awal 20an, perbualan mereka biasa saja, normal, dia bercerita mengenai anak saudaranya yang bakal lahir sambil menunjukkan paparan skrin fon. Si rakan wanita tersebut seperti menahan diri dari menguap dan mengangguk-angguk dengan celoteh rakannya.

Lagu ‘Clockwise’ memasuki minit ke 2 dan 44 saat, saya melihat semula nota di fon yang sempat saya tulis selepas gig New Wax tersebut.
– Kuala Lumpur
– Debar
– Gejolak
– Cinta
– Konflik
– Tenang
– Konflik (Semula)

Jika anda mengikuti New Wax, cuma ada dua lagu di Youtube dan Soundcloud. Saya tak begitu pasti ada berapa lagu yang mereka mainkan di gig beberapa hari lepas tetapi lagu-lagu mereka seperti sebuah perjalanan yang panjang. Adakalanya terasa seperti sebuah momen didalam kereta, melintasi lampu-lampu jalan,terang cahaya dari bangunan – bangunan yang tinggi, lampu isyarat yang dari kuning bertukar ke merah. Ada bunyi tapak kaki yang berjalan dengan pantas. Ada bunyi sudu dan garfu berlaga, bunyi makanan yang disuap ke dalam mulut dan adakalanya kedengaran tangis bayi.

‘Clockwise’ adalah sebuah konflik didalam sebuah perjalanan di Kuala Lumpur. Sentiasa ada debar. Debar didada Kuala Lumpur dan tenang yang bersifat sementara kemudian ia memberikan semula konflik kepada kita.

Saya hanya mendengar ‘Gizmo’ setelah saya pulang semula ke bilik sewa. Saya pernah mendengar gosip atau cerita bahawa disebelah bilik saya ada pekerja seks dan sering berhubungan intim dengan pelanggannya di bilik tu. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada anda konsep bilik sewa ini. Ada 18 bilik kesemuanya dan bilik saya bernombor satu. Hanya dipisahkan dengan plywood partition dan jika anda berdehem perlahan sekalipun, jiran – jiran boleh mendengarnya. Lokasi bilik sewa ini betul-betul dihadapan stesen MRT.

Sejujurnya, sering juga mendengar desahan-desahan suara wanita dari bilik sebelah tetapi saya mengendahkan saja. Semua orang layak untuk melakukan apa saja, menikmati kecintaan dan pekerjaannya.

Bahkan sekarang saya sedang mendengar desahan wanita dari bilik sebelah.

Hujan semakin lebat di Kota Damansara. Saya naikkan volume lagu ‘Gizmo’ di komputer riba, ditelinga saya sekarang ada bunyi hujan, tren MRT, lagu ‘Gizmo’, desahan dan percakapan wanita dari bilik sebelah. “Would you stay here forever?”, kedengaran agak jelas suara wanita tersebut meskipun air hujan begitu deras. Saya tidak pasti respon diberikan oleh si lelaki. Saya cuma mendengar desahan wanita itu semakin kuat. Sesekali saya mendengar si lelaki meminta supaya gerakan wanita itu dilajukan. Saya tidak pasti posisi sebetulnya, saya cuma boleh membayangkan si wanita berada diatas lelaki tersebut.

‘Gizmo’ memasuki minit 2 minit dan 49 saat. Saya perlu keluar sebentar ke 7 Eleven untuk mendapatkan bekalan rokok yang secukupnya sebelum menulis review ‘Clockwise’ dan ‘Gizmo’ ini. Saya hanya membiarkan ‘Gizmo’ berkumandang. Cuma keluar sebentar dan kembali semula ke bilik. 7 Eleven juga hanya berada di bawah bilik sewa. Ketika saya membuka pintu bilik, wanita, yang menurut penyewa yang lain, seorang pekerja seks, turut keluar dari biliknya. Lampu bilik wanita itu berwarna merah, saya boleh hidu minyak wangi yang sama ketika ada pekerja seks menyapa saya dan kawan – kawan beberapa tahun lepas di Maluri. Kawan saya kata mereka dari Vietnam. Saya hanya mengangguk ketika itu.

Bau yang sangat signifikan untuk pekerja seks.

Kelihatan juga seorang lelaki baru saja menyalakan rokok lalu merapikan rambut. Saya hanya menyapa ‘Hai’ lalu wanita itu menuju ke tandas. Saya menutup rapat lalu mengunci pintu bilik. ‘Gizmo’ kedengaran semakin perlahan dan menghilang; dengan nuansa lampu merah, gesekan rel, kilat menyambar dan hujan lebat.

* Suka tulisan ini? Jemput derma kepada penulis dengan menekan durian!

2 Responses

Leave a Reply