Teks oleh: Zhafirin Zulkifli
Foto Oleh: Rendall
Tidak seperti tulisan saya yang lepas, berada didalam isi perut MRT dan LRT, sekarang saya berada didalam kapal terbang untuk ke Kuching dari Kuala Lumpur. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching mengambil masa 1 jam 50 minit. Di Kuching nanti, selain berjumpa dengan keluarga yang sudah jejak tahun ketiga saya tidak bertemu mereka, disana juga saya (Bawahtanahrasmi) bersama Hata Azua (Kahf Studio) akan menganjurkan sebuah gig. Halal atau haram gig tersebut bergantung pada nawaitu.
Mendarat saja di Kuching, mak ayah menjemput saya di lapangan terbang Kuching sebelum ke sempadan Indonesia, Tebedu. Atas urusan kerja ayah saya seorang anggota Polis, keluarga berpindah ke sana setahun yang lepas. Tidak banyak yang anda boleh layari di laman Google tentang Tebedu selain dari asal usul nama Tebedu. Ingatan terakhir saya tentang Tebedu, 15 atau 16 tahun lepas. Seperti kebiasaanya sebuah sempadan antara negara, senantiasa menjadi perhatian untuk beli barangan dengan harga yang murah. Tetapi di Tebedu agak berbeza barangan ditawarkan disana. Selain CD cetak rompak filem – filem luar negara, animasi dan porno, di sana juga ada perkhidmatan bomoh ditepi jalan – paling tepat – suasana pasar pagi. Mereka melakukan ritual tersebut didepan mata anda dan orang ramai yang lalu lalang. Anda boleh saksikan sendiri cara mereka melakukannya.
Selain perkhidmatan bomoh tersebut, ada juga senjata api yang dijual ditepi jalan. Saya tidak pasti proses pembelian, kerana terlalu kecil ketika itu untuk mengambil peduli. Anda akan tahu bahawa ia adalah senjata yang sebenar dengan hanya sekali pandang.
Sekarang dah berbeza, kata ayah, sambil fokus dengan pemanduan, Tebedu tidak lagi menawarkan hal tersebut. Barangan cetak rompak juga tidak lagi dijual. Sekatan lebih ketat disana. Ia sesuatu yang positif, kata Ayah.
Perjalanan dari Kuching ke Tebedu mengambil masa lebih kurang dua jam dengan hujan mencurah lebat, berkabus tebal dan kawasannya berbukit membuatkan perjalanan terasa lebih lama. Sepanjang perjalanan tersebut, saya melalui tanah perkuburan Kristian, gereja kampung Tema Saan, kelihatan juga bendera parti politik dijadikan penanda kebun penduduk.
Ekonomi di Tebedu kebanyakkannya bergantung pada tanaman, penternakan babi, dan juga kedai runcit – menjadi kemudahan penduduk disana. “Kedai runcit ni, kena rompak beberapa hari lepas”. Kata ayah, “Sepatutnya mak dengan ayah nak singgah beli pisang tapi tengok dari luar macam dah tutup, jadi mak, ayah patah balik dan terus balik semula ke rumah”. “Kebetulan Ayah kerja shift malam haritu, ayah dapat laporan yang kedai runcit tu kena rompak, dan ayah tengok jam waktu rompakan tersebut sama dengan masa mak dengan ayah nak singgah beli pisang”. Saya tekun mendengar. “Tauke tu diikat dan perompak dapat melarikan diri dan duit sebanyak RM 70,000”.
“Siapa yang rompak? Orang seberang, ke?”
Ayah menggelengkan kepala. “Orang kita juga”.
Saya hanya sempat bermalam di rumah di Tebedu satu malam. Kemudiannya kembali semula ke Kuching. Di Kuching, saya menyebutnya sebagai rumah keluarga. Ketika ayah mendapat arahan bertugas di Tebedu, keluarga sering berulang-alik dari Kuching – Tebedu – Kuching, samada untuk urusan kerja, cuti, mahupun demi rangkaian internet yang lebih stabil di Kuching.
RANAH MUZIK ALTERNATIF KUCHING DAN GIG RAH\SIA.
Sebulan sebelum berangkat ke Kuching, saya merancang untuk mengadakan gig di Kuching untuk pertama kali. Kebetulan ranah muzik disana sedang kembali rancak dengan gig – gig, saya menghubungi Hata Azua atau lebih dikenali sebagai Wa, merupakan pemilik Kahf Studio di Upwell dan vokalis band Borneo – Rock, HUHA via whatsapp.
“Aku nak polah gig. Aku pike nak polah rah Kahf”. Setelah beberapa jam kemudian, Wa merespon whatsapp tersebut. “Boleh tapi aku sik janji boleh polah di Kahf sebab sepatutnya kontrak sewa tamat hujung Februari tok”.
Sambung Wa, “Mun tauke tempat sewa tok madah boleh extend aku roger kau”.
Tiga hari sebelum berlepas ke Kuching, Wa whatsapp, memberi lampu hijau untuk menggunakan Kahf Studio untuk lokasi gig. Jadi, setelah mendengar perkhabaran bahawa Kahf Studio sedang nyawa – nyawa ikan, saya memberitahu Wa, duit tiket seratus peratus akan masuk ke kantung Kahf Studio dan duit token pula, saya mengeluarkan duit sendiri. Sepanjang 3 hari tersebut saya sibuk mencari band yang ingin bermain di gig dianjurkan oleh saya dan Wa. Pening sudah pasti. Disebabkan saya hanya berada di Kuching selama tujuh hari, saya cuma ada satu tarikh untuk menjayakan gig tersebut, iaitu 5 hari bulan Mac.
“Disebalik ketenangan, kesunyian, ada bunyi bingit berbaur eskapisme disini”.
Kebetulan di Kuching, sejak 3 hari bulan Mac lagi sudah rancak dengan gig sehingga 6 hari bulan Mac. Pada akhirnya, Inspired The Bee, Automatic The Remote, WP.Shh dan Nakhoda bersetuju untuk beraksi di gig Rah\Sia. Ramai mengatakan bahawa Sarawak adalah tempat yang tenang. Popular dengan gelaran Bujang Senang, sesuailah dengan pepatah ‘air yang tenang, jangan disangka tiada buaya’. Disebalik ketenangan, kesunyian, ada bunyi bingit berbaur eskapisme disini. Eskapisme dari lelah bekerja dengan gaji minimum yang sangat sedikit. Seingat saya, masih ada gaji minimum RM 800 sebulan. Penganut muzik bawahtanah disini tidak peduli dengan bunyian yang sempurna, mencapai kualiti radio, peralatan canggih dan mahal, cuma berikan ruang seadanya, dan akan mereka berikan kepada anda rockabilly. Mereka hanya mahukan sebuah eskapisme.
Gig sepatutnya bermula pada 4:20 petang, tetapi bekalan untuk berkhayal dari tokan lambat tiba, semua orang bersetuju untuk menunda sedikit waktu. Disini, band tiada masalah dengan jadual waktu, tetapi haruslah ada pengeras sebelum beraksi. Setelah itu, barulah WP.Shh mulai mengambil tempat untuk memulakan gig Rah\Sia. WP.Shhh adalah variasi warna dalam ranah muzik alternatif tanahair seperti idea asal Wan Purong melihat muzik sebagai penyatuan walaupun citarasa muzik berbeza, Wan Purong jelas mahu mengubah mentaliti, membuka minda pendengar seluasnya supaya ruang yang sedia ada meriah dan kalian berdansa atas muzik yang dihidangkan.
(WP.Shh)
Mereka hanya sempat membawa tiga atau empat lagu sahaja kerana Wan Purong bergegas kembali ke tempat kerja. Di lagu terakhir WP.Shh petang itu, Wan Purong sempat menjawab panggilan telefon dari bos dan semua yang hadir gig tersebut mendengar dengan jelas perbualan tersebut. “Aduh kantoi dengan bos escape kerja”, ucap Wan Purong dari atas pentas diselang ketawa.
Life gets tough if you are far away from home,
The path that i took is the only road i know.– Baris pertama lirik band Grunge, Nakhoda, bertajuk ‘Broke’.
Nakhoda bermula dengan membangun mood reality sebagai sebuah band grunge sebelum meledak dengan dentuman dram dan power chords. Saya mengenali salah pemain bass mereka, Sadam sejak sekalian lama, mengikuti hal – hal kreatif dilakukan oleh Sadam. Meskipun itu, saya tidak pernah sekalipun menyaksikan Nakhoda bermain secara langsung. Nakhoda turut dianggotai oleh Syafiq sebagai vokalis dan Dean, pemain dram. Saya terpukau dengan tenaga Nakhoda petang tersebut. Selain ‘Broke’, mereka turut mempersembahkan lagu ‘Sweet For My Sweet’ dan sebuah lagu baharu, tanpa tajuk – kedengaran riffs lebih tajam, melodi yang jelas dan bermain dengan penuh keghairahan.
(Dean, pemain dram Nakhoda)
Usai mereka beraksi, Dean datang ke arah saya sedang menghisap rokok, memberi drum stick sebagai tanda. Dean sempat menunjukkan jarinya yang berdarah ketika beraksi. Saya cuma ketawa dan kami berbagi cerita tentang muzik mereka. “Kamek orang bukan grunge. Lebih ke alternative sebenarnya”, Kata Dean, menahan kesakitan jarinya yang penuh dengan luka – luka. Kata Dean juga, ini pertama kali dia bermain dram sehingga jarinya berdarah. Banyak hal yang kami bualkan, dari muzik sehinggalah situasi semasa.
Azan maghrib berkumandang, hujan renyai membasahi, peluh pada badan Dean juga berkeringat rock n’roll.
Automatic The Remote satu – satunya band yang saya tidak kenal ahli mereka dan tidak pernah sekali saya mendengar lagu – lagu mereka. Automatic The Remote adalah sebuah band pop-punk, band yang baru ditelinga saya bahkan juga untuk ranah Kuching. Sememangnya saya sengaja untuk meletakkan band yang tidak pernah saya dengar dan tidak kenal antara satu sama lain untuk diketengahkan. Gig Rah\ Sia ini matematik-nya mudah, saya mahu mengumpul kawan-kawan di ranah dan juga mendengar, berkenalan dengan band – band yang tidak pernah masuk dikuping telinga.
Usai saja azan maghrib, Automatic The Remote mulai mengambil tempat, berbaju Hawaii dan berambut palsu kesemuanya. Ada alfro, ada lurus panjang, berkain pelikat, bertatu dan menurut saya, mereka adalah sebuah keanehan yang cukup baik untuk dicuba. Malam tersebut Automatic The Remote berjaya memeriahkan suasana, bertenaga, penuh humor, berani, dan karya-karya mereka cukup baik untuk menembusi telinga, hati dan pelir ranah Semenanjung. Saya cukup yakin dengan karya – karya mereka. Permainan karya mereka juga kemas. Bukan tipikal bunyian muzik alternatif di Kuching. Seingat saya, mereka bermain lebih kurang empat atau lima buah lagu dimalam tersebut. Salah satunya adalah single terbaru bertajuk ‘Sky’. Sangat menangkap.
Berbeza dengan Automatic The Remote, ahli asal Inspired The Bee adalah senior saya di sekolah dan berkawan sejak sekian lama. Hanya Coki antara ahli paling lama bertahan di Inspired The Bee. Coki juga adalah pengasas band indie rock, Heroine, yang semakin mendapat tempat di ranah muzik alternatif Malaysia. Inspired The Bee juga bermazhab indie rock, lebih bingit, tidak peduli, suntikan nafas – nafas resah kehidupan. Meskipun tenaga Inspired The Bee sudah tidak seperti tahun lampau, barangkali kesan kerap bertukar ahli, kita masih lagi boleh melihat perjalanan muzik mereka begitu jelas, terus berjalan di jalan yang gelap, melewati luka – luka sebagai sebuah band.
Malam gig tersebut, sang vokalis, Akmal, tidak beraksi gara-gara positif Covid. Tempat Akmal diambil alih Coki merangkap gitaris. Saya sempat berbual dengan Akim, seorang kolektor piring hitam, dan juga salah seorang yang bersama saya di awal penubuhan Bawahtanahrasmi. Saya menganggap Akim memiliki kitab ranah muzik di Kuching. “Bukan senang nak nangga Coki berlagu”. Ungkap Akim. “Coki sik suka berlagu, sik suka jadi vokalis, tapi bagi aku, Coki ada pesona, aura, gaya dirikpun, sik dipolah – polah!”.
Bagi saya, jika ditanya unsung hero untuk indie rock di Kuching, Coki adalah orang yang tepat. Coki dilahirkan dengan muzik indie rock berkumandang ditelinga kirinya dan sekarang Coki bekerja di sebuah jabatan agama.
Inspired The Bee membawakan lagu – lagu dari EP Low Life malam itu. ‘Pigment’, ‘An-Nafs’, ‘Sun’, dan bunyi bingit bunyian ‘The Joyous and Self-Destuctives’. Lagu – lagu Inspired The Bee, menurut saya, memberi kita cahaya di hutan yang tebal kemudiannya bernafas lelah, ketidaktentuan kehidupan, keresahan klise ke dalam bunyian bingit mereka. Salah satu kekurangan dari muzik Inspired The Bee adalah mereka sukar untuk konsisten dalam sebuah perjalanan emosi yang dituangkan ke dalam muzik mereka.
(Inspired The Bee)
Setelah berakhirnya semua persembahan, masing – masing bercerita tentang seni di Kuching, rokok berganti bir, sejumlah pil khayal dan kemudiannya bersurai, bersedia menghadap realiti keesokan hari.
NASI AYAM ALADDIN, BANDAT RECORD STORE DAN CARPENTER STREET.
Bandat Record Store berpindah dari Pending ke Carpenter Street, beralamat No.57, Carpenter Street. Saya datang untuk soft-launching Bandat, dan menyapa kawan – kawan yang ada disana. Terakhir kali berbual bersama kawan – kawan di Bandat Record Store adalah ketika saya bikin sebuah sesi wawancara di Youtube – TandaSessions versi virtual. Selain bersapa dan bertanya khabar, sudah tentu saya membeli sebilangan kaset band-band dari sana untuk dipromosikan di tanah Malaya. Antara kaset yang saya beli adalah Fuzz Muff, Orang Planet/Clockwise, Buxnid, Dance on Your Grave dan Sawtorture selain Eleven51. Anda boleh saja ke laman bandcamp Bandat Record Store untuk mendengar lagu-lagu band yang disebutkan diatas.
Sementara Timun dan Jeremy sibuk melayan pelanggan dan kawan-kawan yang hadir, saya sempat membelek ruangan zine dan buku di ruangan rak. Salah satu yang menarik perhatian adalah zine bertajuk ‘Rollercoaster’ yang menampilkan beberapa band dari Sarawak, Radish Fan, Nerd, Rocket Flower dan Outtune selain band dari Singapura, Force Vormit.
Tahun 2020 kelmarin, saya juga sempat menyiapkan artikel dan wawancara penggiat muzik bebas di Sarawak yang bertajuk ‘DEAR KUCHING INDIE-POP, IT’S BEEN A PLEASURE. GOODBYE!’. Di artikel tersebut memaparkan sejumlah band di Kuching dari awal 90an sehingga tahun 2020. Anda boleh membaca sendiri tulisan tersebut di blog Bawahtanahrasmi.
Saya dan Timun sempat berborak perihal mentaliti DIY yang masih segar dan mekar di Kuching dan kami begitu bangga tentang hal itu, selain bercerita perihal ekosistem seni di Sarawak bertambah baik dengan adanya kerjasama setiap orang kreatif di ranah meskipun circa Covid, seni kreatif masih bernafas didalam sungai yang dalam dan penuh dengan buaya.
Kami sempat membuka semula cerita isu band baru melenting tidak diberikan ruang oleh penganjur. “Mun sik diseruk oleh organizer just bak jaklah band kau ke parking lot lepasya pake lampu kereta and yalah gig, bak kawan kau pake merami, mun Polis datang, larilah. Ya baruk Rock n’ Roll!” Saya hanya ketawa sambil mengiyakan.
“Kita coba polah apa yang termampu dolok”, Kata Timun sambil menghembus asap rokok Rave. “Scene kita maseh percayak dengan kekuatan DIY, virus mungkin suatu hal yang kita semua sik jangka and sik mampu nak elak, selagik kita percayak yang kita boleh polah something, mesti ada jalan dan jalannya adalah DIY dan disokong oleh sebuah ekosistem yang sihat”. Sesi perbualan tersebut tidak hanya berputar antara saya dan Timun. Ada beberapa orang penting diranah juga terlibat sama, dari media, kolektor, pengamat ranah seni visual dan pereka grafik. Rokok berganti rokok dan kemudian berasa lapar. Kami makan di sebuah restoran cina yang berdekatan dengan Bandat Record Store untuk menikmati nasi ayam selain mendengar telatah penjaga parkir, seorang uncle berbangsa cina, berusia lingkungan 70an. Pemilik kereta yang parkir disitu akan memberikan sebatang rokok dan sesekali kedengaran uncle tersebut memberi nasihat tentang kehidupan dengan bahasa melayu Sarawak yang pekat.
Salah satu hal yang saya rindu tentang Carpenter Street adalah ketika di waktu malam, cahaya dan lagu dari bar – bar sekitar dan bau muntah, tin – tin bir berselerakan selain Pok dan Deng berfoto sakan demi sebuah estetika laman Instagram. Nasi ayam sudah pun terhidang. Kami bertukar cerita, pendapat dan pandangan, merencana masa depan seni kreatif Kuching dan selebihnya dengan izin tuhan.
* Suka tulisan ini? Jemput derma kepada penulis dengan menekan durian!